Saturday, 13 October 2012

DEFINISI MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)





 
Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.
 
Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.
 
 
TUJUAN MBMMBI
 
* Tujuan utama memartabatkan Bahasa Melayu adalah kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia.
 
* Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
 

Friday, 12 October 2012

SOALAN LAZIM BERKAITAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

1.    Apakah itu Dasar MBMMBI?
Dasar MBMMBI ialah dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul.
 
2.    Apakah perbezaan antara Dasar PPSMI dan Dasar MBMMBI?
Dasar PPSMI menetapkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran (p&p) sains dan matematik di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah menengah.
Dasar MBMMBI menetapkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah jenis kebngsaan Tamil.
 
3.    Bagaimanakah Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah?
Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan mengembalikan peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik, meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris melalui pelaksanaan tambahan waktu p&p, transformasi kurikulum, peningkatan kapasiti guru dan sumber manusia, penyediaan bahan dan peralatan serta mengintegrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam p&p.
 
4.    Mengapakah Dasar MBMMBI diperkenalkan?
Kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak mendapati PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Hasil kajian juga mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Hal ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan. Kajian KPM juga menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan p&p sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.
 
5.    Bagaimanakah pendekatan soft landing dilaksanakan di sekolah?
Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (soft landing) mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, p&p sains dan matematik boleh menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan cina, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan. Soft landing membolehkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang telah mengikuti p&p sains dan matematik dalam BI pada atau sebelum tahun 2010 meneruskan penggunaan BI sehingga tamat Tingkatan Lima berdasarkan kesediaan guru dan murid di sekolah. Dengan pendekatan soft landing ini, p&p matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.
 
6.    Bagaimanakah guru dilatih untuk melaksanakan Dasar MBMMBI?
KPM telah merancang dan melaksanakan pelbagai program di bawah dasar MBMMBI untuk melatih guru Bahasa Inggeris dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru dan juga melengkapkan guru dengan kemahiran selaras dengan pembangunan pendidikan nasional. ELTC telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program serta kursus berikut:
a.    Training of Trainers for English Language Lecturers in Institutes of Teacher Education (ELITE-ToT) untuk Pensyarah IPG
b.    Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris
c.    Reinforcing English Language Teaching for Non-Option English Language Teachers (RELTNOTe) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang tidak mengikuti C-PELT
d.    Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH) untuk meningkatkan kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 di sekolah-sekolah Band 3 – 5
BPG juga mengendalikan program latihan dan peningkatan profesionalisme guru bagi mata pelajaran BM dan BI:
Latihan untuk bahasa Malaysia:
                      i.        Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI)
                     ii.        KDP 4 Minggu
                    iii.        Kursus Kolaboratif Dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka
Latihan untuk bahasa Inggeris:
                      i.        Kursus Pemantapan Profisiensi Guru Bukan Opsyen bahasa Inggeris
                     ii.        Kursus Peningkatan Pedagogi Guru Opsyen bahasa Inggeris
                    iii.        Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris
 
7.    Bagaimanakah kita memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang berkualiti? (BPG/ELTC/IPGM)
Institut Pendidikan Guru
a.    IPG akan memantau prestasi / penglibatan guru-guru baru ini selama 6 bulan selepas tamat pengajian dan di tempatkan disekolah.
b.    “Teacher Study“ untuk guru-guru bagi memastikan prestasi mereka di sekolah.
c.    Lengkapkan guru pra perkhidmatan dengan kemahiran pedagogi yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan gaya pembelajaran murid.
d.    Bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) – ada komponen Amalan Professional, Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum.
Bagi PBS, pelajar akan mengikuti setiap semester pengajian.
Praktikum – 3 kali praktikum :
a.    Semester 5 – 4 minggu
b.    Semester 6 – 8 minggu
c.    Semester 7 – 12 minggu
d.    Semester 8 – pelajar akan menjalani internship di mana kajian permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kajian ini dapat membantu pelajar ini di sekolah sebagai guru permulaan.
Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT) telah dibangunkan sebagai satu inisiatif ELTC untuk membantu guru-guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan professional mereka serta memberi petunjuk untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan. Selain itu, ianya juga boleh dijadikan panduan dalam merancang, mereka bentuk dan mengurus program pembangunan profesionalisme untuk guru-guru bahasa Inggeris.
Di samping itu, instrumen PSELT yang berunsur self-evaluative juga telah dibina dan akan dapat diakses secara atas talian oleh guru bahasa Inggeris untuk mengenalpasti keperluan latihan profesional serta memohon untuk mengikuti kursus yang diperlukan untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan.
 
8.   Bagaimanakah KPM memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris mencukupi bagi menampung penambahan waktu pengajaran matapelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?
ELTC melaksanakan Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah di seluruh Malaysia. Kursus ini merupakan kursus tambah opsyen.
BPG melaksanakan 2 jenis program bagi tujuan tersebut:
                      i.        Program Intervensi Tambah Opsyen guru-guru Sains dan Matematik sekolah menengah yang telah berkhidmat antara 1 – 5 tahun
                     ii.        Program Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara dari seluruh negara
 
9.   Apakah peranan guru penutur jati dalam membantu meningkatkan pencapaian Bahasa Inggeris?
Pada tahun 2008 KPM telah bersetuju untuk mengambil penutur jati bahasa Inggeris sebagai pakar atau mentor kepada guru dan pensyarah Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan institusi pendidikan guru di negara ini. Keputusan dibuat untuk melaksanakan Program Penutur Jati Bahasa Inggeris mulai 2011 hingga 2013.
Petunjuk Prestasi Utama Program Penutur Jati adalah untuk meningkatkan kapasiti guru bahasa Inggeris di 1800 buah sekolah rendah dan pensyarah di lima Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah dikenal pasti sebagai Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris (PKBI, iaitu:
a.    IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak
b.    IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah
c.    IPG Kampus Dato’ Razali Iamail, Kuala Terengganu, Terengganu
d.    IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur, dan
e.    English Language Teaching Centre, Kuala Lumpur
Peranan Training Fellows (TF) yang ditempatkan di setiap PKBI adalah untuk menjadi mentor dan coach kepada pensyarah Bahasa Inggeris dengan tujuan membantu dalam pembangunan profesionalisme pensyarah tersebut. Selain itu, TF juga bekerjasama dengan pensyarah dalam membangunkan program latihan. Tugas yang dilaksanakan oleh TF adalah sejajar dan selaras dengan keperluan dan kehendak institusi.
Mentor yang terlibat di sekolah rendah adalah untuk membantu guru bahasa Inggeris dalam aspek seperti berikut:
a.    Perancangan dan pelaksanaan program peningkatan profesionalisme guru Bahasa Inggeris;
b.    Pengendalian program/kursus/ bengkel/ latihan dalam kluster dan zon
c.    Kerjasama dengan pakar dari luar negara yang lain dalam kluster dan zon
d.    Perkhidmatan pakar dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum
e.    Bantuan dalam aktiviti sokongan pengajaran dan pembelajaran
f.     Pelaksanaan aktiviti penyelidikan yang sesuai
g.    Kerjasama dengan pihak KPM dalam pengendalian penilaian program
h.    Pembentukan pasukan jurulatih yang berpotensi di dalam kalangan guru sekolah
 
10. Apakah bahan yang dibekalkan untuk menjayakan Dasar MBMMBI?
English Language Teaching Centre (ELTC) telah menyediakan bahan bagi meningkatkan profesionalisme serta memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru:
a.    Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT)
·         Untuk pembangunan profesionalisme guru bahasa Inggeris, ELTC telah menerbitkan buku Pedagogy Standards for English Language Teaching yang membolehkan guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan profesional mereka.
b.    Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH)
·         Buku Panduan Guru OPS-English yang membolehkan guru melaksanakan P & P untuk pelajar Tingkatan 1 tahun 2012 dalam kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih berkesan.
·         CD Audio-Video (Teacher’s CD) yang membolehkan guru melaksanakan pengajaran kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih efektif.
·         OPS-ENGLISH Student’s Handbook untuk pelajar.
Bahagian Teknologi Pendidikan telah menyediakan dan membekalkan bahan digital pengajaran dan pembelajaran ke semua sekolah. Bahan tersebut merupakan bahan perisian kursus pendidikan khusus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Bahan digital ini berbentuk CD Stand-alone yang dapat dijalankan di semua komputer. Bahan diterapkan dengan unsur didik hibur di samping menitikberatkan kemahiran berbahasa.
 
11. Bagaimanakah penggunaan makmal bahasa dapat membantu dalam penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?
Makmal bahasa merupakan salah satu inisiatif ICT yang menjadi agenda utama dalam pelaksanaan dasar MBMMBI. Infrastruktur makmal bahasa akan dilengkapi dengan alat pandang dengar, perisian kawalan murid dan perisian interaktif Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang lebih menitikberatkan dalam penguasaan berbahasa.
 
12. Bagaimanakah pentaksiran dilaksanakan di sekolah?
Pentaksiran di sekolah akan dilaksanakan dalam dua bentuk iaitu;
·       
  Pentaksiran Formatif iaitu pentaksiran pada peringkat pembentukan dengan tujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan pembelajaran (pentaksiran pembelajaran atau assessment for learning)
·        
 Pentaksiran Sumatif iaitu pentaksiran pada peringkat merumuskan dengan tujuan untuk mengetahui sejauh mana murid telah belajar dan menguasai apa yang dipelajari (pentaksiran tentang pembelajaran atau assessment of learning)
Pentaksiran formatif memberi tumpuan bukan semata-mata kepada membuat ujian, memeriksa, merekod skor murid dan membuat analisis kepada skor malahan yang lebih penting ialah melihat perkembangan pembelajaran murid dan aktiviti memberi maklumbalas kepada sesiapa sahaja yang memerlukan terutama murid sendiri. Oleh itu, pelaporan bertulis tidak perlu dibuat secara berkala sebaliknya, guru mestilah mampu memberinya secara bertulis atau verbal apabila dikehendaki pada bila-bila masa oleh mana-mana pihak berkepentingan seperti ibu bapa, guru besar atau nazir.
Pentaksiran sumatif dilaksanakan dengan guru membuat pertimbangan tentang tahap penguasaan murid dalam pembelajaran menggunakan pelbagai maklumat (kuantitatif dan kualitatif) yang diperoleh melalui pelbagai aktiviti pentaksiran. Maklumat tersebut perlu dinilai dan dilaporkan oleh guru untuk digunakan pula oleh guru lain yang akan meneruskan pengajaran murid di semester atau tahun berikutnya. Sekali lagi guru tidak perlu membandingkan murid dengan murid yang lain sama ada secara kuantitatif atau kualitatif.
 
13. Adakah soalan peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau dwibahasa?
Selaras dengan soft-landing MBMMBI, soalan peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM akan dibuat dalam dwibahasa sehingga tahun 2020. Selepas daripada tahun 2020 semua soalan bagi kedua mata pelajaran tersebut akan dibuat dalam Bahasa Malaysia. Ini adalah selaras dengan hasrat MBMMBI.
 
14. Bagaimanakah Dasar MBMMBI akan membantu murid menghadapi cabaran dari segi bahasa pengantar dalam pembelajaran Matematik dan Sains di peringkat prauniversiti?
Di bawah Dasar MBMMBI, KPM sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa p&p bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan p&p di bilik darjah. Oleh itu, pelaksanaan Dasar MBMMBI diharapkan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid bagi membantu mereka meneruskan pengajian di peringkat prauniverisiti mahupun universiti.
 

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 1 / 2010: PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

Sumber : http://www.moe.gov.my/?id=169&aid=627

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 1 / 2010: PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)
KP(BSPSH-SPDK)201/005/01( )

14 Januari 2010

Semua Pengarah Pelajaran,
Jabatan Pelajaran Negeri,
Y.Bhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 1 / 2010:
PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah dan digantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

2. Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris diperkukuh menerusi pendekatan yang lebih berkesan. Dengan pemansuhan dasar PPSMI, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah hendaklah menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala di SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

3. Pada 5 Ogos 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, sekolah boleh menggunakan Bahasa Inggeris dan/atau bahasa pengantar masing-masing dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan.

4. Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik semasa peralihan dasar PPSMI ke MBMMBI mulai tahun 2010 adalah seperti berikut:


Tahun Peringkat persekolahan
Rendah Menengah
Mulai 2010 P&p Sains dan Matematik boleh menggunakan Bahasa Inggeris. P&p Sains dan Matematik boleh  menggunakan
Bahasa Inggeris.
Mulai 2011 i)  P&p Sains dan     Matematik Tahun Satu di SK menggunakan Bahasa Malaysia. ii) P&p Sains dan Matematik Tahun Satu di SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing. P&p Sains dan Matematik boleh menggunakan
Bahasa Inggeris.
Mulai 2012 i)  P&p Sains dan Matematik Tahun Empat di SK menggunakan Bahasa Malaysia dan/atau Bahasa Inggeris sehingga kohort tersebut tamat Tahun 6. ii) P&p Sains dan Matematik Tahun Empat di SJK(C) dan SJK(T) menggunakan bahasa pengantar masing-masing dan/atau Bahasa Inggeris sehingga kohort tersebut tamat Tahun 6. P&p Sains dan Matematik Tingkatan Satu dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia.
P&p Sains dan Matematik Tingkatan Empat boleh menggunakan Bahasa Inggeris dan/atau Bahasa Malaysia sehingga kohort tersebut tamat Tingkatan 5.

Sila rujuk kepada Lampiran 1 dan Lampiran 2 bagi jadual peralihan dasar PPSMI ke dasar MBMMBI.

5.       Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan Enam Rendah, Tingkatan Enam Atas dan Matrikulasi diteruskan dalam Bahasa Inggeris.

6.       Penyediaan soalan-soalan peperiksaan awam bagi kelompok mata pelajaran Sains dan Matematik semasa peralihan dasar adalah seperti yang berikut:

Jenis Peperiksaan Penggunaan Bahasa pengantar
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Dwibahasa sehingga 2015
Penilaian Menengah Rendah (PMR) Dwibahasa sehingga 2013
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Dwibahasa sehingga 2015

7.       Sila maklumkan kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas ini kepada pegawai yang bertanggungjawab di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Pengetua dan Guru Besar di bawah pentadbiran         Y. Bhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan.

Sekian. Terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia