1. Apakah itu Dasar MBMMBI?
Dasar MBMMBI ialah dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk
memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua
sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh
menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul.
2. Apakah perbezaan antara Dasar PPSMI dan Dasar MBMMBI?
Dasar PPSMI menetapkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengajaran dan pembelajaran (p&p) sains dan matematik di sekolah
kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah menengah.
Dasar MBMMBI menetapkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa
p&p sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah,
bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di
sekolah jenis kebngsaan Tamil.
3. Bagaimanakah Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah?
Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan
mengembalikan peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan
matematik, meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris
melalui pelaksanaan tambahan waktu p&p, transformasi kurikulum,
peningkatan kapasiti guru dan sumber manusia, penyediaan bahan dan
peralatan serta mengintegrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
dalam p&p.
4. Mengapakah Dasar MBMMBI diperkenalkan?
Kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak mendapati PPSMI tidak
dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Hasil kajian juga mendapati
murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa
Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik
dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Hal ini memaksa
guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat
memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan
sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di
bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar
murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan
sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan. Kajian KPM juga
menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan p&p sains
dan matematik dalam bahasa Malaysia.
5. Bagaimanakah pendekatan soft landing dilaksanakan di sekolah?
Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (soft
landing) mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, p&p sains dan
matematik boleh menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa Malaysia di
sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Inggeris dan/atau
bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan cina, bahasa Inggeris dan/atau
bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Ini bertujuan membantu
guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan. Soft
landing membolehkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang telah
mengikuti p&p sains dan matematik dalam BI pada atau sebelum tahun
2010 meneruskan penggunaan BI sehingga tamat Tingkatan Lima berdasarkan
kesediaan guru dan murid di sekolah. Dengan pendekatan soft landing ini,
p&p matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam
bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah
menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata
pelajaran ini adalah pada tahun 2021.
6. Bagaimanakah guru dilatih untuk melaksanakan Dasar MBMMBI?
KPM telah merancang dan melaksanakan pelbagai program di bawah
dasar MBMMBI untuk melatih guru Bahasa Inggeris dalam perkhidmatan untuk
meningkatkan profesionalisme guru dan juga melengkapkan guru dengan
kemahiran selaras dengan pembangunan pendidikan nasional. ELTC telah
dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program serta kursus berikut:
a. Training of Trainers for English Language Lecturers in Institutes of Teacher Education (ELITE-ToT) untuk Pensyarah IPG
b. Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris
c. Reinforcing English Language Teaching for Non-Option English Language Teachers (RELTNOTe) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang tidak mengikuti C-PELT
d. Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH) untuk meningkatkan kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 di sekolah-sekolah Band 3 – 5
BPG juga mengendalikan program latihan dan peningkatan profesionalisme guru bagi mata pelajaran BM dan BI:
Latihan untuk bahasa Malaysia:
i. Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI)
ii. KDP 4 Minggu
iii. Kursus Kolaboratif Dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka
Latihan untuk bahasa Inggeris:
i. Kursus Pemantapan Profisiensi Guru Bukan Opsyen bahasa Inggeris
ii. Kursus Peningkatan Pedagogi Guru Opsyen bahasa Inggeris
iii. Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris
7. Bagaimanakah kita memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang berkualiti? (BPG/ELTC/IPGM)
Institut Pendidikan Guru
a. IPG akan memantau prestasi / penglibatan guru-guru baru ini
selama 6 bulan selepas tamat pengajian dan di tempatkan disekolah.
b. “Teacher Study“ untuk guru-guru bagi memastikan prestasi mereka di sekolah.
c. Lengkapkan guru pra perkhidmatan dengan kemahiran pedagogi
yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan gaya pembelajaran murid.
d. Bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) – ada
komponen Amalan Professional, Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan
Praktikum.
Bagi PBS, pelajar akan mengikuti setiap semester pengajian.
Praktikum – 3 kali praktikum :
a. Semester 5 – 4 minggu
b. Semester 6 – 8 minggu
c. Semester 7 – 12 minggu
d. Semester 8 – pelajar akan menjalani internship di mana kajian
permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kajian ini
dapat membantu pelajar ini di sekolah sebagai guru permulaan.
Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT) telah
dibangunkan sebagai satu inisiatif ELTC untuk membantu guru-guru bahasa
Inggeris mengenalpasti keperluan latihan professional mereka serta
memberi petunjuk untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan.
Selain itu, ianya juga boleh dijadikan panduan dalam merancang, mereka
bentuk dan mengurus program pembangunan profesionalisme untuk guru-guru
bahasa Inggeris.
Di samping itu, instrumen PSELT yang berunsur self-evaluative juga
telah dibina dan akan dapat diakses secara atas talian oleh guru bahasa
Inggeris untuk mengenalpasti keperluan latihan profesional serta memohon
untuk mengikuti kursus yang diperlukan untuk pembangunan
profesionalisme secara berterusan.
8. Bagaimanakah KPM memastikan guru
bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris mencukupi bagi menampung penambahan
waktu pengajaran matapelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?
ELTC melaksanakan Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk
guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang mengajar matapelajaran Bahasa
Inggeris di sekolah rendah di seluruh Malaysia. Kursus ini merupakan
kursus tambah opsyen.
BPG melaksanakan 2 jenis program bagi tujuan tersebut:
i. Program Intervensi Tambah Opsyen
guru-guru Sains dan Matematik sekolah menengah yang telah berkhidmat
antara 1 – 5 tahun
ii. Program Latihan Guru Kontrak bahasa
Inggeris guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara dari seluruh
negara
9. Apakah peranan guru penutur jati dalam membantu meningkatkan pencapaian Bahasa Inggeris?
Pada tahun 2008 KPM telah bersetuju untuk mengambil penutur jati
bahasa Inggeris sebagai pakar atau mentor kepada guru dan pensyarah
Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan institusi pendidikan guru di
negara ini. Keputusan dibuat untuk melaksanakan Program Penutur Jati
Bahasa Inggeris mulai 2011 hingga 2013.
Petunjuk Prestasi Utama Program Penutur Jati adalah untuk
meningkatkan kapasiti guru bahasa Inggeris di 1800 buah sekolah rendah
dan pensyarah di lima Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah dikenal
pasti sebagai Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris (PKBI, iaitu:
a. IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak
b. IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah
c. IPG Kampus Dato’ Razali Iamail, Kuala Terengganu, Terengganu
d. IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur, dan
e. English Language Teaching Centre, Kuala Lumpur
Peranan Training Fellows (TF) yang ditempatkan di setiap
PKBI adalah untuk menjadi mentor dan coach kepada pensyarah Bahasa
Inggeris dengan tujuan membantu dalam pembangunan profesionalisme
pensyarah tersebut. Selain itu, TF juga bekerjasama dengan pensyarah
dalam membangunkan program latihan. Tugas yang dilaksanakan oleh TF
adalah sejajar dan selaras dengan keperluan dan kehendak institusi.
Mentor yang terlibat di sekolah rendah adalah untuk membantu guru bahasa Inggeris dalam aspek seperti berikut:
a. Perancangan dan pelaksanaan program peningkatan profesionalisme guru Bahasa Inggeris;
b. Pengendalian program/kursus/ bengkel/ latihan dalam kluster dan zon
c. Kerjasama dengan pakar dari luar negara yang lain dalam kluster dan zon
d. Perkhidmatan pakar dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum
e. Bantuan dalam aktiviti sokongan pengajaran dan pembelajaran
f. Pelaksanaan aktiviti penyelidikan yang sesuai
g. Kerjasama dengan pihak KPM dalam pengendalian penilaian program
h. Pembentukan pasukan jurulatih yang berpotensi di dalam kalangan guru sekolah
10. Apakah bahan yang dibekalkan untuk menjayakan Dasar MBMMBI?
English Language Teaching Centre (ELTC) telah menyediakan bahan
bagi meningkatkan profesionalisme serta memperkukuh penguasaan bahasa
Inggeris dalam kalangan guru:
a. Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT)
· Untuk pembangunan profesionalisme guru bahasa Inggeris,
ELTC telah menerbitkan buku Pedagogy Standards for English Language
Teaching yang membolehkan guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan
latihan profesional mereka.
b. Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH)
· Buku Panduan Guru OPS-English yang membolehkan guru
melaksanakan P & P untuk pelajar Tingkatan 1 tahun 2012 dalam
kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih berkesan.
· CD Audio-Video (Teacher’s CD) yang membolehkan guru
melaksanakan pengajaran kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan
lebih efektif.
· OPS-ENGLISH Student’s Handbook untuk pelajar.
Bahagian Teknologi Pendidikan telah menyediakan dan membekalkan
bahan digital pengajaran dan pembelajaran ke semua sekolah. Bahan
tersebut merupakan bahan perisian kursus pendidikan khusus bagi mata
pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Bahan digital ini
berbentuk CD Stand-alone yang dapat dijalankan di semua
komputer. Bahan diterapkan dengan unsur didik hibur di samping
menitikberatkan kemahiran berbahasa.
11. Bagaimanakah penggunaan makmal bahasa dapat membantu dalam penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?
Makmal bahasa merupakan salah satu inisiatif ICT yang menjadi
agenda utama dalam pelaksanaan dasar MBMMBI. Infrastruktur makmal bahasa
akan dilengkapi dengan alat pandang dengar, perisian kawalan murid dan
perisian interaktif Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang lebih
menitikberatkan dalam penguasaan berbahasa.
12. Bagaimanakah pentaksiran dilaksanakan di sekolah?
Pentaksiran di sekolah akan dilaksanakan dalam dua bentuk iaitu;
·
Pentaksiran Formatif iaitu pentaksiran
pada peringkat pembentukan dengan tujuan untuk memperbaiki dan
meningkatkan pembelajaran (pentaksiran pembelajaran atau assessment for
learning)
·
Pentaksiran Sumatif iaitu pentaksiran
pada peringkat merumuskan dengan tujuan untuk mengetahui sejauh mana
murid telah belajar dan menguasai apa yang dipelajari (pentaksiran
tentang pembelajaran atau assessment of learning)
Pentaksiran formatif memberi tumpuan bukan semata-mata kepada
membuat ujian, memeriksa, merekod skor murid dan membuat analisis kepada
skor malahan yang lebih penting ialah melihat perkembangan pembelajaran
murid dan aktiviti memberi maklumbalas kepada sesiapa sahaja yang
memerlukan terutama murid sendiri. Oleh itu, pelaporan bertulis tidak
perlu dibuat secara berkala sebaliknya, guru mestilah mampu memberinya
secara bertulis atau verbal apabila dikehendaki pada bila-bila masa oleh
mana-mana pihak berkepentingan seperti ibu bapa, guru besar atau nazir.
Pentaksiran sumatif dilaksanakan dengan guru membuat pertimbangan
tentang tahap penguasaan murid dalam pembelajaran menggunakan pelbagai
maklumat (kuantitatif dan kualitatif) yang diperoleh melalui pelbagai
aktiviti pentaksiran. Maklumat tersebut perlu dinilai dan dilaporkan
oleh guru untuk digunakan pula oleh guru lain yang akan meneruskan
pengajaran murid di semester atau tahun berikutnya. Sekali lagi guru
tidak perlu membandingkan murid dengan murid yang lain sama ada secara
kuantitatif atau kualitatif.
13. Adakah soalan peperiksaan awam bagi
mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM dalam
Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau dwibahasa?
Selaras dengan soft-landing MBMMBI, soalan peperiksaan awam bagi
mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM akan
dibuat dalam dwibahasa sehingga tahun 2020. Selepas daripada tahun 2020
semua soalan bagi kedua mata pelajaran tersebut akan dibuat dalam Bahasa
Malaysia. Ini adalah selaras dengan hasrat MBMMBI.
14. Bagaimanakah Dasar MBMMBI akan
membantu murid menghadapi cabaran dari segi bahasa pengantar dalam
pembelajaran Matematik dan Sains di peringkat prauniversiti?
Di bawah Dasar MBMMBI, KPM sedang melaksanakan pelbagai inisiatif
baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
dalam kalangan murid. Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa
p&p bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di
bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan
guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan
guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti
bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan
p&p di bilik darjah. Oleh itu, pelaksanaan Dasar MBMMBI diharapkan
dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid bagi
membantu mereka meneruskan pengajian di peringkat prauniverisiti mahupun
universiti.
No comments:
Post a Comment